type='text/javascript'/>

Cerai Taklik

Definisi

    Taklik ialah pembubaran perkahwinan yang berlaku apabila suami atau isteri melanggar taklik iaitu syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama. Apabila perlanggaran syarat berlaku, aduan hendaklah dikemukakan kepada pihak mahkamah dan jika didapati sabit berlaku maka gugur talak.


Bentuk

    Kebiasaannya, taklik yang sering berlaku ialah taklik yang diucapkan oleh pihak suami selepas akad nikah berkaitan pengabaian nafkah seperti yang terdapat di dalam surat akuan nikah iaitu “Saya mengaku apabila saya:

1.  tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan,
2.  dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut sedangkan dia mentaati saya,
3.  atau saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya,
4.  kemudian dia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya di Mahkamah Syariah,
5.  dan dia memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya RM1.00 maka pada ketika itu tertalaklah dia dengan cara khuluk”

    Ada beberapa negeri yang meletakkan taklik tambahan iaitu sekiranya suami merujuk isterinya tanpa persetujuan pihak isteri maka jatuh satu talak. Malah ada negeri yang tidak meletakkan tebus talak untuk memperolehi taklik seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan.

    Taklik seperti di atas diucapkan oleh pihak suami selepas akad nikah bertujuan melindungi hak isteri dan untuk kebaikan isteri agar tidak dianiayai. Namun, taklik selepas akad nikah ini tidak menjadi kemestian dan tidak menjadi kesalahan di sisi perundangan sekiranya pihak suami enggan mengucapkan taklik tersebut.

    Di samping taklik di atas, terdapat beberapa contoh taklik lain yang pernah diputuskan oleh mahkamah antaranya:

1.  Suami enggan membenarkan isteri keluar dari rumah dan sekiranya isteri engkar maka akan jatuh talak
2.  Suami melafazkan hubungan perkahwinan antara dia dan isteri tamat apabila isteri yang sedang hamil selamat melahirkan anak mereka.

    Perlu diingatkan bahawa ucapan taklik bukanlah ucapan gurauan kerana ianya boleh menyebabkan suatu ikatan perkahwinan terbubar. Lantaran itu, para suami diingatkan agar tidak mempersendakan ucapan-ucapan yang berbau talak ini.


Kesan

    Sama seperti fasakh, taklik adalah termasuk di dalam bain sughra. Pasangan suami isteri ini tidak boleh merujuk semula walau di dalam tempoh eddah tetapi boleh bersama kembali dengan akad baru selepas tempoh eddah.

Tidak ada komentar: