type='text/javascript'/>

Permohonan Kahwin

Perkahwinan luar negara

    Bagi pasangan yang ingin berkahwin di luar negara, mereka hendaklah mendapatkan sokongan daripada pejabat kedutaan Malaysia bagi mendapatkan kebenaran daripada pendaftar perkahwinan negeri tempat calon bermastautin.

    Setelah kebenaran diperolehi maka akad nikah boleh dilaksanakan dan kemudiannya didaftarkan di pejabat kedutaan Malaysia dan pejabat perkahwinan daerah atau negeri asal pasangan. Namun, dalam kebanyakan kes, perkahwinan itu hanya didaftarkan di pejabat kedutaan Malaysia dan satu surat akuan nikah akan dikeluarkan.

    Surat perakuan nikah tersebut tidak sah digunakan di dalam negara. Ini bererti, apabila pasangan tersebut telah kembali ke dalam negeri (Malaysia), pendaftaran perkahwinan tersebut hendaklah dilakukan sekali lagi di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk daerah berdekatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh ketibaan dan satu surat perakuan yang baru akan dikeluarkan.


Perkahwinan dalam negeri

    Kedua-dua pemohon lelaki dan perempuan hendaklah mengemukakan borang permohonan dan mendapatkan sokongan daripada Pendaftar Perkahwinan. Kedua-dua borang tersebut akan disatukan dan satu surat kebenaran daripada pendaftar akan dikeluarkan. Surat kebenaran tersebut akan membenarkan akad nikah dijalankan dan sijil nikah akan dikeluarkan.

    Proses bagi perkahwinan dalam negeri yang melibatkan pasangan daripada dua negeri yang berlainan, adalah sama dengan proses perkahwinan yang melibatkan pasangan daripada negeri yang sama. Perbezaaannya, kebenaran daripada pendaftar kedua-dua negeri perlu diperolehi dan disatukan untuk mendapat surat kebenaran bagi membolehkan pemohon lelaki menjalankan akad nikah di luar daerah pemastautinannya.

    Sebagai contoh, pengantin lelaki berasal dari Tanjung Malim, Perak sementara pengantin perempuan pula berasal dari Sabak Bernam, Selangor. Maka, pengantin lelaki perlu mendapatkan kebenaran daripada Pendaftar Nikah daerahnya bagi membolehkan beliau menjalankan akad nikah di luar daerahnya iaitu di Sabak Bernam. Kebenaran tersebut penting bagi membolehkan pihak Pendaftar Nikah daerah Sabak Bernam mengeluarkan kebenaran mengizinkan upacara akad nikah antara keduanya dijalankan.

    Terdapat beberapa perkara yang perlu dibawa oleh pemohon lelaki semasa mengemukakan permohonan untuk sesuatu perkahwinan, iaitu:

1. Kad pengenalan atau visa yang sah.
2. Bukti mastautin (sekiranya alamat tempat tinggal berlainan dengan kad pengenalan).
3. Surat pengesahan status bujang dari majikan atau penghulu.
4. Salinan kad pengenalan dua orang saksi lelaki.
5. Surat cerai yang asal (jika duda).
6. Surat perakuan memeluk Islam (bagi saudara baru).
7. Surat kebenaran mahkamah (pengantin bawah umur).
8. Surat kebenaran bernikah di laur qaryah (berlainan qaryah).
9. Surat sokongan pejabat kedutaan (bagi bukan warganegara Malaysia).

    Seperti pemohon lelaki, pemohon perempuan juga perlu mengemukakan beberapa perkara, iaitu:

1. Kad pengenalan atau visa yang sah.
2. Wali yang sah mengikut susunan wali.
3. Salinan kad pengenalan dua orang saksi lelaki.
4. Surat pengesahan status bujang dari majikan atau penghulu.
5. Surat cerai yang asal (jika janda).
6. Surat perakuan memeluk Islam (saudara baru).
7. Surat kebenaran mahkamah (pengantin bawah umur).
8. Surat sokongan pejabat kedutaan (bukan warganegara Malaysia).
9. Keizinan bertulis wali.

Tidak ada komentar: