type='text/javascript'/>

Hak Sebelum Perkahwinan

Seperti yang telah dijelaskan, Undang-undang Kekeluargaan Islam menetapkan bahawa seseorang individu mempunyai hak untuk mengatur urusan perkahwinannya. Menurut undang-undang tersebut, terdapat beberapa hak yang boleh diperolehi iaitu:

1. Had umur minima perkahwinan.
2. Hak diminta keizinan untuk berkahwin.
3. Hak di dalam pertunangan.
4. Hak untuk mendapat mahar / mas kahwin.


Umur Minima Perkahwinan

    Had umur minima perkahwinan bermaksud seseorang individu sama ada lelaki atau perempuan ditetapkan mencapai usia tertentu iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki, untuk melayakkan individu tersebut berkahwin.

    Had umur tertentu sedemikian perlu ditetapkan bagi menjamin kebajikan kedua-dua pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. Umur 16 tahun bagi seorang gadis dan 18 tahun bagi seorang teruna dianggap sebagai tahap umur dewasa dan mampu berfikir dengan matang untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kehidupan masa depan.

    Sekiranya peruntukan had umur tersebut tidak dipatuhi, perkahwinan tersebut adalah salah di sisi undang-undang walaupun dikira sah di segi syarak dan perkahwinan yang salah di sisi perundangan ini tidak boleh didaftarkan, malah hak-hak lanjutan ekoran perkahwinan tersebut juga sukar diperolehi oleh kedua-dua pihak.

    Namun, terdapat pengecualian bagi peruntukan ini iaitu apabila keadaan tidak dapat dielakkan dan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur perlu dijalankan juga. Dalam keadaan ini, permohonan boleh dikemukakan kepada pihak Kadhi atau Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keizinan.

    Tidak semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan menetapkan had umur minima sebegini. Contohnya, Perak tidak mempunyai peruntukan tersebut, bererti setiap pasangan berhak mengemukakan permohonan untuk berkahwin tanpa mengira had umur.

Tidak ada komentar: