type='text/javascript'/>

Fungsi Wujudnya Tempoh Eddah dan Pemberian Nafkah Eddah

Fungsi Wujudnya Tempoh Eddah

Terdapat beberapa fungsi wujudnya tempoh eddah iaitu:

1. Untuk membersihkan rahim wanita yang diceraikan daripada sebarang unsur yang mungkin wujud hasil hubungannya dengan bekas suaminya sebelum ini.
2. Untuk menentukan nasab atau keturunan anak yang lahir selepas pembubaran perkahwinan itu.
3. Sebagai satu tempoh untuk memberi peluang kepada bekas suami isteri yang berpisah memikirkan semula tindakan yang diambil sebelumnya. Berkemungkinan di dalam tempoh tersebut, kedua bekas suami isteri itu menyedari bahawa mereka saling memerlukan maka rujuk semula boleh dilakukan.
4. Sebagai tanda perkabungan bagi wanita yang kematian suami. Di sepanjang tempoh perkabungan ini iaitu selama empat bulan dan sepuluh hari, isteri tersebut tidak dibenarkan berhias diri dalam keadaan yang boleh menarik perhatian lelaki lain. Malah, mereka juga dilarang menerima lamaran secara terang apatah lagi cuba menggoda perhatian lelaki.

Seorang wanita yang kehilangan status perkahwinannya sama ada pembubaran perkahwinan tersebut secara fasakh, taklik atau khuluk, wanita tersebut tetap perlu menjalani tempoh eddah sama seperti eddah perceraian biasa.


Pemberian Nafkah Eddah

Pemberian nafkah eddah ini adalah tertakluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan:

Sekiranya seorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talak rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama dia berada di dalam tempoh eddah;
Menyediakan makanan yang sepatutnya.
Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
Menyediakan tempat tinggal yang selesa.
Menyediakan segala keperluan laain yang patut seperti perubatan, peribadatan, pendidikan, dandanan diri dan lain-lain.

Sekiranya dia diceraikan dengan talak bain seperti cerai secara khuluk atau taklik maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama dia di dalam tempoh eddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat kesemua kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talak rajie.

Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya.

Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam eddah. Namun, dalam keadaan ini, isteri tersebut masih berhak untuk mewarisi atau memperolehi bahagian pusaka daripada harta bekas suaminya. Perempuan yang nusyuz juga tidak berhak mendapat daripada bekas suaminya semasa di dalam eddah.

Tidak ada komentar: