type='text/javascript'/>

Hak untuk membubarkan perkahwinan

Hak untuk membubarkan perkahwinan bermaksud seseorang individu sama ada suami atau isteri mempunyai hak untuk membubarkan sesuatu perkahwinan apabila hikmah perkahwinan tidak dapat dinikmati.

    Apabila berlaku suatu konflik yang kritikal antara suami iateri, aduan hendaklah dibuat kepada Unit Khidmat Nasihat Keluarga di pejabat agama yang berdekatan. Satu sesi kaunseling akan diadakan bagi membantu ke arah perdamaian. Sekiranya perdamaian dapat diperolehi maka fail aduan akan diletakkan di bawah pemerhatian unit tersebut. Namun, sekiranya perdamaian gagal diperolehi dan kedua-dua pihak bersedia untuk membubarkan perkahwinan maka permohonan untuk mendapatkan perceraian boleh dibuat di Mahkamah Syariah berdekatan.

    Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh seseorang individu untuk membubarkan perkahwinannya. Bagi seorang suami, beliau boleh mengemukakan permohonan untuk menceraikan isterinya secara talak kepada pihak Mahkamah Syariah. Sementara bagi seorang isteri pula, beliau boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya sam ada secara fasakh, taklik atau khuluk. Namun, sekiranya seorang suami telah melafazkan talak di luar mahkamah bererti tanpa izin pihak Mahkamah Syariah, maka pengesahan lafaz talak tersebut perlu dilakukan sama ada oleh suami atau isteri di Mahkamah Syariah.

    Bagi mendapatkan pengesahan talak, permohonan hendaklah dikemukakan kepada pihak Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan tersebut. Mahkamah akan membicarakan permohonan dan jika sabit berlaku perceraian maka ianya akan didaftarkan. Sebaliknya, jika talak yang diucapkan tersebut tidak dapat disabitkan berlaku, kes akan dibubarkan.

    Berkaitan permohonan cerai, seorang isteri juga berhak untuk memohon perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah dengan memfailkan permohonan. Permohonan ini akan dibicarakan dan sekiranya mahkamah berpuas hati dengan permohonan tersebut setelah segala bukti dan keterangan dikemukakan, maka permohonan cerai tersebut akan diluluskan.

    Mahkamah akan memerintahkan suami melafazkan cerai dengan lafaz; “ Saya menceraikan isteri saya Pulanah binti Pulan dengan talak satu.” Lafaz ini merupakan peraturan yang diseragamkan oleh pihak mahkamah demi kemaslahatan dan kepentingan pasangan tersebut di kemudian hari. Malah, bagi mengelakkan pengucapan lafaz cerai secara emosional yang mungkin melibatkan talak dua atau tiga yang sudah pasti akan turut menyusahkan pasangan itu nanti.

Tidak ada komentar: