type='text/javascript'/>

Hak Semasa Tempoh Perkahwinan

Semasa tempoh perkahwinan, terdapat beberapa hak yang boleh diperolehi oleh setiap individu samada sebagai seorang isteri atau seorang suami. Hak-hak tersebut ialah:

1. Hak untuk mendapat nafkah.
2. Hak untuk mendapat layanan yang baik.
3. Hak untuk membubarkan perkahwinan.

    Hak untuk mendapat nafkah bermaksud kedua-dua suami isteri bertanggungjawab untuk memberikan nafkah kepada pasangannya dan berhak memperolehi nafkah daripada pasangannya. Nafkah yang dimaksudkan merangkumi nafkah batin dan nafkah zahir.

    Bagi nafkah batin, seorang isteri bertanggungjawab menyempurnakan keinginan seks suaminya apabila suami berhajat kecuali disebabkan halangan-halangan syarak dan kesihatan. Bagi seorang isteri pula, beliau berhak dilayani oleh suaminya sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh empat hari. Kadar ini mengambil kira rutin giliran sekiranya berpoligami. Sekiranya dalam tempoh tersebut isteri tidak dilayani malah jika isteri berkeinginan mendapat layanan seks dari suami, isteri berhak meminta daripada suaminya dan suami berkewajipan memenuhi permintaan isteri.

    Nafkah zahir pula bermaksud segala keperluan hidup seharian iaitu makan minum, tempat tinggal, pakaian, perkhidmatan seperti perubatan, pendidikan, peribadatan dan lain-lain lagi yang dikira wajar dan tidak melampau di sisi syarak. Nafkah zahir ini merupakan tanggungjawab suami terhadap isteri samada isteri mampu menyara dirinya sendiri, apatah lagi sebaliknya.

    Sekiranya suami gagal membayar jumlah nafkah yang patut kepada isteri dan anak-anak, isteri berhak mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah dan mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya suami membayar nafkah tersebut.

    Namun, dalam sesetengah keadaan, seseorang isteri akan kehilangan hak untuk mendapat peruntukan nafkah daripada suaminya iaitu apabila didapati isteri berlaku nusyuz. Keadaan-keadaan tersebut antaranya ialah:

 Apabila dia tidak menunaikan kewajipannya sebagai isteri yang menjadi hak suaminya termasuk tidak melayani suami di tempat peraduan.
 Apabila dia enggan mematuhi kata-kata suami yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.
 Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kehendak suaminya.
 Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain.

    Hak untuk mendapat layanan yang baik pula bermaksud kedua-dua pasangan suami isteri berhak untuk mendapat layanan yang baik daripada pasangan masing-masing. Setiap pasangan memerlukan kasih sayang, bimbingan dan perhatian. Seorang suami mesti menghormati isteri begitu juga isteri mesti menghormati suami.

    Walaupun seorang suami dianggap sebagai ketua keluarga, tetapi isteri bukanlah seorang hamba yang boleh dikerah melakukan kerja-kerja rumah sesuka hati suami. Bagi seorang isteri pula, walaupun suaminya adalah pekerja bawahannya di pejabat tetapi di rumah, suami adalah ketua yang mesti ditaati.

    Seorang suami juga hendaklah memberi keadilan kepada isteri-isteri yang dimadukan kerana menjadi hak setiap isteri tersebut mendapat keadilan dalam kehidupan berpoligami.

Tidak ada komentar: