type='text/javascript'/>

Isteri Nusyuz, Suami Dayus

Huraian kes:

    Aminah telah berkahwin dengan Aziz selama hampir 8 tahun. Perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan 2 orang anak, masing-masing berusia 6 tahun, lelaki dan 5 tahun, perempuan.

    Sejak hampir setahun kebelakangan ini, Aminah mula menunjukkan reaksi perubahan terhadap rumahtangganya. Aminah tidak lagi pulang awal ke rumah selepas menyelesaikan tugasannya sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah. Kebiasaannya sebelum ini, Aminah akan sampai ke rumah antara jam 2.30 hingga pukul 3.00 petang selepas mengambil anak-anaknya di rumah pengasuh. Sekarang, Aminah hanya akan sampai ke rumah antara jam 8.00 hingga 9.00 malam. Apabila disoal oleh Aziz, Aminah akan meninggikan suara mengatakan dia mempunyai banyak kerja yang perlu diselesaikan. Pada awalnya, Aziz cuba mempercayai kata-kata Aminah, tetapi, bila hampir setiap hari, keadaan yang sama berlaku, Aziz mula rasa curiga. Aminah juga mula menyisihkan diri daripada Aziz, enggan tidur bersama malah Aminah tidur di bilik anak-anaknya.

    Aminah tidak lagi mengambil berat tentang keperluan Aziz, makan atau tidak, Aminah tidak pernah peduli. Baju tidak lagi bergosok. Bila Aziz meminta Aminah tolong gosokkan bajunya, Aminah akan menyindir, masakan Jaga pun nak berpakaian kemas, baju bergosok pun, tidak akan menambahkan pendapatan. Aziz cuba bersabar. Dia tahu, perubahan sikap Aminah terjadi selepas perniagaannya lingkup di kala ekonomi negara gawat hingga memaksa Aziz melakukan apa sahaja kerja yang terdaya bagi memikul tanggungjawab keluarga. Aziz belum pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami, menyediakan keperluan dan nafkah untuk isteri dan anak-anak. Pendapatannya hampir setahun kebelakangan ini sebagai Jaga dan membuka perniagaan burger secara sambilan tika tidak bekerja, masih mencukupi untuk kehidupan mereka sekeluarga, walaupun tidak mewah. Aziz belum pernah meminta wang atau bantuan daripada Aminah. Cuma, Aziz akui dia tidak mampu berbelanja besar untuk keperluan Aminah dan selalunya Aminah akan membeli keperluannya sendiri.

    Semalam, Aziz tidak bekerja kerana mendapat cuti bagi menjaga anaknya yang menghidapi demam panas. Isterinya terpaksa menghadiri kursus selama 3 hari di Langkawi, sejak 2 hari lalu. Aziz cuba menghubungi telefon bimbit isterinya tetapi gagal. Petang semalam, Aziz tinggalkan anaknya kepada pengasuh kerana terpaksa keluar ke pasaraya bagi mendapatkan bekalan untuk jualan burger. Ketika melalui hadapan sebuah hotel terkemuka di bandar Alor Setar, Aziz terpandang isterinya sedang berjalan mesra bersama seorang lelaki memasuki hotel berkenaan. Merah padam muka Aziz menahan marah.

    Aziz tidak mati langkah. Dia mengikut dari jauh, tunggu sehingga Aminah dan pasangannya memasuki lif dan kemudian mendapatkan maklumat daripada kaunter pendaftaran. Aziz terpaksa menipu kononnya pasangan yang baru menaiki lif itu adalah kawan lamanya dan petugas tersebut memberikan nombor bilik penginapan yang dikehendaki. Tersirap darah Aziz bila diketahui Aminah bersama pasangannya telah menginap di situ sejak dua hari lepas, bererti Aminah tidak ke Langkawi.

    Aziz segera menghubungi pejabat agama yang berdekatan dan membuat aduan. Akhirnya Aminah diserkup oleh pegawai penguasa agama bersama pasangannya, di bilik hotel tersebut dalam keadaan separuh berpakaian. Aziz juga mengetahui bahawa lelaki yang menjadi pasangan Aminah adalah seorang usahawan berjaya, suami kepada seorang wanita dan telah mempunyai 4 orang anak.


Penyelesaian kes:

1. Dari sudut jenayah syariah

    Aminah dan pasangannya boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah melakukan khalwat atau persetubuhan haram.


2. Dari sudut kekeluargaan Islam

a) Aminah berhak diceraikan oleh Aziz dan Aminah akan kehilangan hak untuk mendapatkan nafkah eddah, mutaah dan jagaan anak jika disabitkan nusyuz oleh pihak mahkamah. Aziz perlu membuktikan bahawa Aminah telah nusyuz kerana gagal menyempurnakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri antaranya enggan melayani keperluan seks Aziz malah membuktikan bahawa Aminah mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Tangkapan yang dibuat oleh pihak penguatkuasa ke atas Aminah dan pasangannya boleh dikemukakan sebagai keterangan bagi menyokong kes nusyuz tersebut.

b) Lelaki yang menjadi pasangan Aminah telah dikira sebagai dayus dan isterinya juga berhak mendakwa suaminya di atas kesalahan matrimoni iaitu kesalahan di dalam perkahwinan Islam sebagai menganiayai isteri. Jika disabitkan bersalah, si suami boleh didenda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Si isteri juga berhak memohon agar Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah supaya suaminya kembali menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, sekiranya ingin meneruskan perkahwinan mereka. Seandainya perintah mahkamah ini dilanggar oleh si suami, dalam erti kata lain, si suami tidak menjalankan tanggungjawabnya yang patut sebagai seorang suami, maka si suami boleh didenda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, kerana mengingkari perintah mahkamah. Sebaliknya, sekiranya isteri lelaki tersebut enggan meneruskan perkahwinannya, si isteri berhak membuat permohonan cerai dan mendapat hak untuk nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan jagaan anak.

Tidak ada komentar: