type='text/javascript'/>

Izin dalam perkahwinan

Seseorang individu Muslim yang bakal mendirikan rumahtangga telah diberikan hak oleh Undang-undang Kekeluargaan Islam yang diamalkan di seluruh Malaysia, untuk mendapatkan keizinannya terlebih dahulu. Hak diminta keizinan untuk berkahwin ini adalah melibatkan setiap individu sama ada pengantin lelaki atau pengantin perempuan, tak kira sama ada gadis ataupun janda.

    Seorang gadis tidak boleh dipaksa kahwin sekalipun oleh wali mujbirnya. Wali mujbir ialah bapa atau datuk sebelah bapa dan ke atas. Mereka ini mempunyai kuasa untuk mengahwinkan anak-anak gadisnya tanpa izin gadis tersebut berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu.

    Ini bererti, izin bakal isteri mestilah diperolehi. Seorang bakal isteri dalam status janda, wajib mendapatkan keizinannya dengan jelas sementara bagi seorang gadis, memadailah diam itu sebagai tanda setuju.

    Keizinan kedua-dua bakal pengantin terhadap sesuatu perkahwinan diperuntukkan bagi memenuhi dan menepati hikmah sesebuah perkahwinan. Cinta, kasih sayang, persefahaman dan kerjasama yang menjadi antara faktor utama kerukunan rumahtangga tak mungkin boleh diperolehi secara paksaan.

    Namun, seperti yang disebutkan di atas, dalam beberapa keadaan, seorang gadis boleh dinikahkan oleh wali mujbir tanpa persetujuan gadis sekiranya:

1. Wali mujbir atau bakal suami tidak mempunyai permusuhan dengan si gadis.
2. Bakal suami sekufu dengan si gadis.
3. Bakal suami mampu membayar mahar misil.

    Sekufu bermaksud mempunyai kesamaan dan keserasian antara kedua pasangan bakal suami isteri dan keutamaan diberikan kepada persefahaman di dalam hal-hal keagamaan.

    Selain daripada hak mendapatkan izin kedua-dua pengantin, keizinan wali juga perlu diambil kira di dalam sesebuah perkahwinan. Sekiranya wali tidak bersetuju dengan sesebuah perkahwinan tanpa sebarang sebab yang munasabah di sisi syarak , permohonan boleh dikemukakan kepada pihak Mahkamah Syariah supaya perintah dikeluarkan bagi mengarahkan wali memberi izin perkahwinan tersebut dilakukan.

    Sekiranya wali tetap enggan memberi izin, maka dalam keadaan ini, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah supaya perkahwinan tersebut menggunakan wali hakim.

Tidak ada komentar: