type='text/javascript'/>

Permohonan Fasakh

Definisi

    Fasakh ialah pembubaran perkahwinan yang dilakukan apabila terdapat sebab-sebab munasabah yang diharuskan oleh syarak. Antara sebab-sebabnya ialah:


01. Suami tidak diketahui berada di mana selama tempoh lebih daripada satu tahun.
02. Suami tidak menyediakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan berturut-turut.
03. Suami dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
04. Suami tidak menunaikan keperluan nafkah batin isteri selama tempoh satu tahun tanpa alasan yang munasabah.
05. Suami tidak mampu memberikan nafkah batin sejak awal perkahwinan dan keadaan ini tidak diketahui oleh isteri ketika perkahwinan dijalankan.
06. Suami telah gila selama dua tahun atau mengidap penyakit kusta atau vitilago atau penyakit kelamin yang berjangkit.
07. Isteri telah dikahwinkan secara paksa oleh wali mujbirnya ketika belum mencapai umur baligh dan telah menolak perkahwinan ini tika belum mencapai umur lapan belas tahun malah isteri tersebut masih belum disetubuhi oleh suaminya.
08. Suami menganiayai dan memudharatkan kehidupan isteri.
09. Isteri tidak bersetuju dengan perkahwinan itu atau terpaksa bersetuju.
10. Persetujuan isteri diberikan dalam keadaan isteri menghidapi sakit otak yang tidak layak berkahwin.

    Bagi negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Perlis, Sarawak dan sabah terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa salah satu alasan fasakh ialah suami tidak berlaku adil mengikut syarak di dalam melayani isteri-isterinya.

    Menganiayai dan memudharatkan kehidupan isteri bermaksud suami melakukan salah satu atau gabungan perkara-perkara berikut iaitu:

1. Selalu memukul dan menyakiti isteri.
2. Berkawan dengan perempuan jahat dan bersikap keji di sisi agama.
3. Memaksa isteri hidup secara lucah.
4. Melupuskan harta isteri atau melarang isteri menggunakan haknya secara wajar terhadap harta itu.
5. Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
6. Gagal bersikap adil menurut hukum syarak di dalam kehidupan berpoligami.


Hak permohonan

    Permohonan fasakh bukan sahaja diperuntukkan kepada isteri malahan suami juga boleh memohon fasakh disebabkan kesalahan atau kekurangan isteri. Terdapat negeri yang memperuntukkan di dalam undang-undang kekeluargaannya berkaitan kesalahan dan kekurangan isteri yang membolehkan suami memohon fasakh, contohnya negeri Kedah yang memperuntukkan antara sebab dan alasan permohonan fasakh dari pihak suami ialah:

1. Isteri mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan.
2. Isteri telah gila selama tempoh satu tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitilago atau kelamin dalam keadaan boleh berjangkit.


Prosedur permohonan

    Pemohon yang ingin mendapatkan tuntutan fasakh perlu mengemukakan borang permohonan atau penyata tuntutan atau kedua-duanya sekali (bergantung kepada negeri) dan kes akan didaftarkan untuk perbicaraan. Sekiranya permohonan fasakh tersebut diluluskan oleh Mahkamah Syariah maka fasakh tersebut akan didaftarkan. Sebaliknya jika permohonan tersebut ditolak, maka kes akan ditutup.


Kesan

    Fasakh adalah termasuk di dalam kategori talak bain sughra iaitu bagi pasangan yang perkahwinan mereka terbubar disebabkan fasakh, mereka tidak boleh merujuk kembali walaupun masih berada di dalam tempoh eddah. Namun, mereka boleh kembali hidup sebagai pasangan suami isteri dengan dilakukan akad nikah semula selepas tamat tempoh eddah.
 

Tidak ada komentar: