type='text/javascript'/>

Pertunangan Dan Mas Kahwin

Hak dalam pertunangan

    Berkaitan hak seseorang individu di dalam pertunangan, Undang-undang Kekeluargaan Islam telah memperuntukkan bahawa seseorang individu boleh mendapatkan gantirugi sekiranya sesuatu pertunangan itu diputuskan oleh pihak satu lagi.

    Sebagai contoh, seorang perempuan yang diputuskan pertunangannya dalam keadaan dia tidak rela dengan keputusan pihak lelaki tersebut, maka dia berhak menuntut pihak lelaki membayar gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat sebagai persediaan majlis dan menuntut supaya memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barangan jika ianya telah digunakan.

    Sekiranya suatu pertunangan itu diputuskan oleh pihak perempuan, maka keadaannya sama seperti jika pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki. Pihak perempuan mesti memulangkan semua pemberian pertunangan atau nilai barangan jika ianya telah digunakan.

    Pihak lelaki juga berhak menuntut gantirugi perbelanjaan yang telah dibuat untuk persediaan majlis dan menuntut kembali wang hantaran sekiranya telah diberikan kepada pihak perempuan.


Hak mendapat mas kahwin

    Hak untuk mendapat mahar atau mas kahwin hanya diperolehi oleh pihak perempuan iaitu bakal isteri. Mas kahwin adalah hak yang wajib diperolehi oleh seorang isteri daripada suaminya. Mengikut peruntukan undang-undang, mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami atau wakilnya kepada isteri atau wakilnya semasa pernikahan dijalankan di hadapan dua orang saksi.

    Pihak pendaftar nikah akan mencatatkan jumlah mas kahwin, pemberian atau sebarang perjanjian pemberian atau cagaran mas kahwin dan pemberian bagi serahan masa akan datang iaitu selepas akad nikah.

    Tiada ketetapan khas di dalam perundangan berhubung dengan jumlah mas kahwin. Namun, memadailah jumlah tersebut dalam anggaran kemampuan bakal suami dan tidak melibatkan hutang yang akan membebankan kehidupan kedua pasangan suami isteri tersebut di masa akan datang.

    Tidak terdapat peraturan atau syarat tertentu berkaitan dengan ketetapan kadar mas kahwin. Namun, ada negeri yang menyelaraskan kadar mas kahwin tetapi ianya bukanlah satu kadar yang tetap dan perlu dipatuhi. Bererti, pengantin perempuan atau walinya berhak untuk meletakkan jumlah mas kahwin yang berbeza sama ada lebih kurang atau lebih tinggi berbanding amalan yang ada sekarang.

    Mengikut amalan sekarang, jumlah mas kahwin bagi seorang pengantin perempuan ialah:

Negeri                 Mas kahwin bagi gadis         Mas kahwin bagi janda
Wilayah Persekutuan         RM 80.00                 RM 40.00
Selangor             RM 80.00                 RM 40.00
Johor                  RM 22.50*                 RM 22.50*
Melaka              RM 40.00*                  RM 40.00*
Negeri Sembilan         RM 24.00-RM 48.00             RM 24.00-RM 48.00
Perak                 Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Kelantan              Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Pahang             RM 22.50                 RM 22.50
Terengganu              Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Kedah                 Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Perlis                 Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Pulau Pinang              Tiada Ketetapan              Tiada Ketetapan 
Sarawak             RM 120.00                 RM 120.00
Sabah                 RM 100.00                  RM 50.00
 
*boleh ditambah tetapi tak boleh dikurangkan


    Ada di kalangan masyarakat kita yang masih keliru antara mas kahwin dan hantaran. Realitinya, terdapat perbezaan yang ketara antara keduanya. Mas kahwin ialah pemberian wajib daripada suami kepada isterinya dan mas kahwin itu disebutkan semasa akad sama ada dibayar secara tunai atau hutang. Sementara hantaran ialah hadiah daripada suami kepada isterinya dan juga hadiah daripada isteri kepada suaminya iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan tersebut. Hantaran juga bukanlah perkara wajib tetapi hanyalah satu hukum adat.

    Kebiasaannya, sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan. Barangan hantaran inilah yang ditetapkan mesti dipulangkan semula sama ada dalam bentuk asal atau nilaiannya sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan.

    Dalam pengamalan sekarang, masyarakat lebih menitik beratkan soal hantaran sehingga sanggup bergolok gadai. Malah apabila timbul persoalan untuk menaikkan kadar mas kahwin, masyarakat mula kecoh kononnya ianya akan membebankan pihak lelaki. Realitinya, kadar mas kahwin yang perlu diutamakan kerana ianya merupakan penghargaan untuk seorang isteri yang bersedia mempertaruhkan jiwa dan raganya bagi mengabdikan diri sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki bernama suami.

    Sememangnya terdapat hadis yang menjelaskan bahawa antara ciri-ciri wanita sholehah ialah apabila nilai mas kahwinnya rendah. Namun, harus diingat, Islam adalah bertepatan dan bersesuaian dengan setiap keadaan dan masa. Mas kahwin sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberi nilai kepada seorang isteri. Jika mengikut pengamalan sekarang, apakah yang boleh dibuat dengan RM22.50?

    Kaum wanita berhak untuk meminta jumlah mas kahwin yang bersesuaian dengan dirinya tetapi bukanlah keterlaluan hingga menyebabkan bakal suami terpaksa berhutang. Di zaman Saidina Omar, ketika beliau cuba menetapkan kadar mas kahwin, bangun seorang wanita mempertikaikan cadangan beliau lantaran di dalam al-Quran jelas mengatakan mas kahwin adalah hak mutlak wanita. Saidina Omar akhirnya akur dengan pendapat wanita tersebut dan tiada ketetapan dibuat.

    Merujuk kepada masyarakat kita hari ini, kenapakah tidak jumlah wang hantaran yang tidak wajib itu dikurangkan sedikit, cukup sekadar untuk membiayai majlis perkahwinan dan ditambahkan kadar mas kahwin, sebagai penghargaan dan hadiah pertama tanda cinta dan kasih seorang suami kepada isteri?

Tidak ada komentar: