type='text/javascript'/>

Kahwin lari dan sindiket

Dalam situasi masyarakat sekarang, fenomena kahwin lari terutamanya kahwin di Thailand atau Siam, bukanlah fenomena yang pelik dan ganjil. Namun, masyarakat jangan terkeliru dengan kedudukan dan situasi sebenar kahwin lari. Terdapat dua kes yang berbeza berkaitan kahwin atau nikah lari di Thailand ini.

    Pertama, sekiranya nikah tersebut dilakukan oleh mereka yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia, maka permohonan boleh dilakukan di pejabat agama daerah terdekat dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan untuk mendapatkan pengesahan dan mendaftarkan perkahwinan tersebut. Denda juga akan dikenakan terhadap pasangan ini kerana berkahwin di luar negara tanpa kebenaran.

    Kedua, perkahwinan yang melibatkan mereka yang tidak bertauliah ataupun nikah sindiket. Ianya akan merumitkan keadaan untuk mendapatkan pengesahan dari pihak Thailand juga kerana dibimbangi pernikahan tersebut tidak sah. Apabila keadaan ini berlaku maka ianya akan dikendalikan oleh Unit Penguatkuasa.

    Sebagai peringatan kepada golongan wanita malah gadis, elakkan perkahwinan yang melanggar undang-undang terutamanya yang melibatkan nikah di sempadan. Ianya akan membawa kesan yang buruk di belakang hari. Namun, kepada mereka yang telah melakukannya, pastikan perkahwinan itu mendapat pengesahan pihak berkuasa tempatan dan didaftarkan. Ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah akan menghalang seseorang isteri menuntut sebarang hak di dalam perkahwinannya apatah lagi selepas perkahwinannya.

    Nikah atau kahwin sindiket pula bermaksud perkahwinan yang dijalankan di kawasan sempadan Thailand atau di mana-mana kawasan lain di Malaysia oleh satu kumpulan atau orang perseorangan yang tidak mendapat kebenaran menjalankan upacara pernikahan daripada pihak berkuasa kerajaan. Kebiasaannya, kumpulan atau orang perseorangan ini akan menyediakan segala kemudahan untuk pasangan melangsungkan perkahwinan termasuk menyediakan saksi dan wali untuk pihak perempuan.

    Masalah akan timbul kerana perkahwinan ini adalah diragui kesahihannya dan tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Sebagai contoh, perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah/ Thailand tetapi sijil perakuan yang dikeluarkan ialah sijil negeri Perak.


Kesan

    Terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan dengan kahwin sindiket ini iaitu:

1. Sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah maka perkahwinan tersebut adalah dianggap sebagai sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan.

    Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

2. Sekiranya perkahwinan itu dijalankan menggunakan wali yang diragui sah maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku maka akan timbul masalah untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak. Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat.

    Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya.

    Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya.

    Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan. Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM 150.00. Perkahwinan sindiket tidak melibatkan sebarang urusan dengan Jabatan Agama Islam sebaliknya perkahwinan biasa perlu didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Daerah.


Faktor penyebab

    Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan berlakunya kes kahwin sindiket iaitu:

  Perkahwinan poligami: pasangan yang terlibat berkemungkinan tidak mendapat kebenaran untuk berpoligami daripada pihak mahkamah atau berhasrat untuk merahsiakannya daripada pengetahuan isteri sedia ada.
  Perkahwinan yang tidak dipersetujui oleh wali: sama ada perkahwinan itu melibatkan poligami atau tidak bersetuju dengan pasangan pilihan si anak.

Tidak ada komentar: